Wahhh, cantiknya Royal Floria Putrajaya 2024. Dengan keindahan lebih 700 ribu bunga-bungaan dan tumbuh-tumbuhan pelbagai warna, rupa, dan gaya dari dalam dan luar negara, festival bunga yang paling dinantikan ini kembali lagi di Persisiran Tasik, Presint 2, Putrajaya.
Isi Kandungan
Royal Floria Putrajaya 2024
Bermula hari ini, 22 Ogos hingga 1 September 2024, Royal Floria Putrajaya (RFP) menjanjikan pengalaman yang penuh warna-warni dan memukau.
Tarikan Utama: Taman Kreatif dan Astaka Flora
Festival kali ini menampilkan taman yang dibina oleh lebih 30 jabatan dan agensi kerajaan termasuk Perbadanan Putrajaya, agensi korporat, swasta, persatuan, pengusaha bunga, serta komuniti Putrajaya. Setiap taman membawa tema dan kreativiti tersendiri, mencerminkan seni pameran taman yang unik dan memikat hati.
Tidak ketinggalan, pengunjung juga berpeluang menikmati keindahan koleksi tumbuhan tropika dalam komponen pameran Astaka Flora yang bertemakan ‘Tropical Wonders Highland & Lowland’. Pameran ini menjanjikan suasana segar dan nyaman, sesuai untuk merehatkan minda sambil menikmati keindahan flora.
Taman Malaysia MADANI dan Taman Diraja: Tarikan Bersempena Sambutan Kebangsaan 2024
Taman Malaysia MADANI dan Taman Diraja juga menjadi tumpuan utama di RFP kali ini. Kedua-dua taman ini direka dengan begitu indah, mencerminkan semangat kebangsaan dan diraja yang kuat, bertepatan dengan Sambutan Kebangsaan 2024.
Kapsul Masa: Sejarah yang Dibuka Kembali
Istimewanya tahun ini, RFP membuka kapsul masa yang ditanam pada 29 Ogos 1995 buat pertama kalinya kepada tontonan umum. Inilah peluang untuk kita semua melihat apa yang terkandung di dalamnya, suatu pengalaman yang pastinya akan menjadi kenangan manis buat semua pengunjung.
Bunga Petunia: Bunga Tema yang Memukau
Bertemakan ‘Raikan Bersama!’ atau ‘Celebrate Together!’, Royal Floria Putrajaya 2024 menggunakan bunga Petunia sebagai bunga tema. Keunikan struktur pertumbuhan dan keindahan warna kelopak bunga yang cantik dan menjurai menyuntik elemen estetika seumpama menerangi dan menceriakan para pengunjung.
Lebih 100 Aktiviti Menarik: Dari Bengkel hingga Persembahan Pentas
Sepanjang festival berlangsung, lebih 100 aktiviti sampingan disediakan untuk pengunjung. Antara aktiviti menarik termasuk bengkel, demonstrasi, larian, persembahan pentas, dan banyak lagi! Setiap sudut festival ini penuh dengan keseronokan dan keindahan yang pasti tidak mahu dilepaskan.
Jangan Lepaskan Peluang
Ini adalah peluang yang sangat berharga untuk menikmati keindahan bunga-bungaan dari seluruh dunia di satu tempat. Selain itu, inilah masa terbaik untuk ber-OOTD dengan latar belakang bunga-bungaan yang menawan hati.
Jom, raikan keindahan flora bersama di Royal Floria Putrajaya 2024 sambil melawat tempat menarik di Putrajaya.