AirAsia perkenal pas tanpa had RM399 Ke 14 Destinasi

Share This Post

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram

KUALA LUMPUR: AirAsia melancarkan pas tanpa had baharu untuk memacu dan merancakkan kembali pelancongan domestik negara bagi menyokong usaha kerajaan susulan kebenaran bagi perjalanan domestik di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat, berkata pas tanpa had AirAsia Cuti-Cuti Malaysia yang berharga RM399 bersih, tersedia untuk semua Ahli AirAsia BIG di Malaysia untuk pembelian di airasia.com/deals atau aplikasi mudah alih AirAsia (di bawah pautan Deals) mulai 11 hingga 13 Jun 2020.

“Beli sekarang dan buatlah perjalanan pada bila-bila masa bermula 25 Jun 2020 hingga 31 Mac 2021,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, tawaran itu membabitkan 16 destinasi menarik di Malaysia iaitu Alor Setar, Langkawi, Pulau Pinang, Ipoh, Johor Bahru, Kuala Lumpur, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Kuching, Miri, Bintulu, Sibu, Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan Labuan.

“Kami menyambut baik pembukaan semula perjalanan domestik menerusi pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) oleh kerajaan baru-baru ini dengan insentif seperti pelepasan cukai pendapatan sebanyak RM1,000 untuk perbelanjaan pelancongan domestik sehingga Disember 2021,” katanya.

Bagi mencapai objektif itu, beliau berkata AirAsia berharap untuk bekerjasama dengan semua pihak dalam industri pelancongan daripada pengusaha hotel sehingga ejen pelancongan.

“Bagi AirAsia, pas tanpa had ini adalah tawaran utama kami kepada para tetamu untuk menebus penerbangan tanpa had dalam rangkaian domestik kami ke 16 destinasi.

“Dengan melakukan perjalanan domestik, kita bukan sahaja dapat menyokong masyarakat setempat, malah menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

“Semasa melakukan perjalanan, kami meminta kerjasama tetamu untuk mengamalkan kebersihan diri yang tinggi dan memakai pelitup muka,” katanya.

Riad berkata, penerbangan yang ditebus dengan pas tanpa had itu tertakluk kepada cukai dan yuran kerajaan, perkhidmatan tambahan dan caj-caj lain yang berkenaan manakala tempahan penerbangan mestilah dibuat sekurang-kurangnya 14 hari sebelum waktu perlepasan serta terdapat tempoh embargo dan terma dan syarat lain yang dikenakan.

-BERNAMA

More To Explore