5 Langkah Merealisasikan Impian Anda Untuk Mengembara

Assalamualaikum. Hi, saya Mooze.

Berjumpa lagi kita dalam dunia pengembaraan di laman Destinasi Percutian.

Terima kasih kepada anda yang dah baca penulisan sebelum ini. Bagi yang belum anda boleh klik link ini. Tapi jangan risau, penulisan ini bukanlah bersambung-sambung, Mooze lebih suka kepada berkongsi pengalaman dan cerita tentang dunia pengembaraan dalam bentuk penulisan.

Ya, sekarang jam pun menunjukkan 00:26 pagi. Di depan Mooze ada satu cawan air nescafe. Sukar untuk tidur malam ni bila tidak menulis. Nampaknya kena menulis sedikit baru boleh tidur dengan lena.

Mooze nak kongsikan kepada anda yang berimpian untuk mulakan pengembaraan. Yang belum pernah lagi memulakan pengembaraannya, dan sudah pun pasang niat dan berimpian suatu hari nanti pastinya paling-paling pun sekali seumur hidup untuk mengembara ke mana sahaja tempat yang anda diidamkan.

Mooze pun sama seperti anda ketika dulu. Teruja nak travel! Negara yang paling Mooze nak jejak adalah negara Turki. Tak silap 7-8 tahun sebelum Mooze mulakan pengembaraan Mooze dah pasang niat nak pergi Turki. Istanbul, Turki siap terbayang-bayang waktu winter salji bergambar di depan Masjid Aya Sofa. Tu 7-8 tahun sebelum ni Mooze berimpian.

Tapi, lepas 6 tahun Mooze berimpian nak pergi Turki, Mooze tak jejak pun Turki lagi sampai sekarang. Tapi Allah SWT bagi Mooze jejak Maghribi (Morocco). Negara yang tak ada langsung dalam senarai list Mooze, negara yang Mooze langsung tak terfikir nak jejakkan kaki. Negara yang like “Morocco? Ada apa kat sana?”.

Tak kenal maka tak cinta. Sekali dah jejak Morocco (2016), sampai sekarang (2019) masih lagi teringat-ingat debu-debu pasir yang berterbangan waktu naik unta disana. Almaklumlah, pertama kali jejak ke negara style Sahara. Terujanya tak hilang lagi. Kahkah.

Sahara, Morocco. Bila lagi nak datang sini ni?

 

Mooze stop dulu bercerita tentang Morocco. Cerita tentang Morocco tak habis menulislah sampai pagi jawabnya. Apa yang Mooze nak kongsikan dan bercerita hari ini adalah bagaimana impian Mooze tercapai (Alhamdulillah dengan izin Allah SWT). Bila Mooze tengok disetiap negara yang Mooze pergi, mesti 5 benda ni mesti ada. Sepertinya acuan, andai salah satu acuan ni tiada, akan kurang menjadi. Jadi Mooze akan kongsikan kepada anda pada pagi ini. Khas untuk anda yang belum lagi mulakan pengembaraan anda sendiri. Dan anda boleh jadikannya sebagai panduan dan catatan. Ikuti sahaja, insyaAllah jadi. Dengan izin Allah.

 

(Kepada otai-otai yang dah berpuluh-puluh buah negara travel tu, boleh skip terus. Anda dah lebih jauh berpengalaman. Hahaha.)

 

Baik, pertamanya adalah “KEINGINAN”

 

  1. NAK (Keinginan, Desire)

 

Hakikatnya ini adalah perkara penting yang perlu ada dalam diri anda. Manakan tidak kalau anda ‘TAK NAK’ semestinya tidak akan berlaku. Nampak macam biasa bukan? Tapi sebenarnya ini adalah penentu permulaan pengembaraan anda.

Baca Juga  3-Day Itinerary to Pulau Perhentian from Kuala Lumpur

Mooze kongsikan cerita bagaimana wujud keinginan Mooze nak mengembara.

Mooze sukakan cabaran. Ketika sedang melanjutkan pengajian. Mooze rasa macam ada sesuatu yang perlu dibuat sebelum habis belajar untuk dijadikan sebagai rujukan inspirasi diri sendiri di masa akan datang.

Mooze ada tengok seorang kawan, dia belajar dekat Nilai. Mooze ingat lagi, gambar dia dekat China tengah buat program charity dengan background gunung-ganang. Tak silap Mooze kat Kunming, China gambar dia. Memang cantik la dia punya gambar. Background gunung-ganang. Dengan dress-up oversea, bersarung tangan, dan waktu musim sejuk pula tu. Boleh dikatakan gambar yang dipost tu menjadi antara salah satu titik tolak untuk Mooze nak travel. Ya hanya sekeling gambar. Itulah permulaannya.

Tapi sekeping gambar sahaja tak cukup untuk merealisasikan impian Mooze nak travel, ada lagi beberapa perkara yang menguatkan lagi keinginan dan hasrat Mooze untuk travel ke negara-negara yang lain.

 

2.    JOIN CIRCLE 

 

Lepas Mooze tengok gambar, Mooze terus hubungi dia. DM di instagram. Minta nombor telefon. Dan set tarikh untuk berjumpa dengannya. Mooze yakin, jobskop kerja dan organisasi yang dia dah berjaya buat, Mooze hanya perlu baca dan aplikasikan dalam circle Mooze sendiri. Kemudian dia kongsikan kertas kerja. Mooze ingat lagi, Mooze jumpa dia dekat Mcd Nilai dan belanja dia makan untuk dia kongsikan cerita pengembaraannya.

Lepas dia kongsikan kertas kerja, Mooze perlu cari circle/pasukan untuk melaksanakannya. Mooze tidak boleh lakukan seorang, semestinya ada pasukan yang perlu lakukan setiap gerak kerja.

Makanya point disini adalah join circle travel disekeliling anda. Kalau tiada, cari. Berkenalan dengan mereka.  Kalau tak jumpa, anda kena mulakan dan bertanya. Mooze boleh kongsikan group circle yang besar ada di group Facebook, Backpackers Buddies Malaysia. Keahlian mencecah 200K orang. Ramai. Mereka tidak lokek ilmu dan maklumat berkongsi di sana.

Kalau untuk circle yang lebih kecil, anda boleh cari dan join kenalan-kenalan anda yang suka mengembara. Yang sama hasrat dengan anda. Kalau tak jumpa, jangan risau. Mooze ada. Kahkah. Boleh join group circle Mooze. Tapi Mooze setakat ni belum lagi nak kemana-mana. Wang belum ramai lagi.

Tiada anggaran tepat untuk mulakan. 4 orang boleh, 5 orang boleh. 6 orang pun boleh. Kalau boleh anda listkan group circle travel. Mooze kongsikan pengalaman waktu Mooze bermula dulu, 5 orang pada awalnya. Bertambah menjadi 16, 32 orang, turun menjadi 12 orang, dan yang jadi pergi adalah 6 orang.

Kemudian Mooze berkenalan dengan group baru untuk negara seterusnya pun 6 orang juga. Negara yang seterusnya circle Mooze cuma 4 orang. Negara seterusnya pula 5 orang. Negara seterusnya bertambah 10 orang.

Baca Juga  25 Tips Travel Bahagian 1
Masjid Sahabat Saad Abi Waqas, Guangzhou, China. 

Ya formula yang kedua ini sangat berkesan untuk dipraktikan dan ia menjadi! Bila anda ada impian yang sama, hasrat yang sama, kerja anda lebih seronok, daya tolakan antara satu sama lain berlaku. Saling Bantu antara satu sama lain.

Jadi apa langkah seterusnya?

 

3. LOCK TARIKH

 

Lepas dah dapat circle, Mooze adakan satu perjumpaan dengan team Mooze. Untuk tentukan tarikh yang betul-betul confirm flight. Pada awalnya kami berbincang tentukan tarikh yang semua available, tapi dengan masalah itu ini tunda sehingga 2 kali, akhirnya tarikh dapat ditetapkan. Mooze ingat lagi tarikh flight yang kami tentukan adalah bertarikh 17/10/2016.

Ini adalah susunan yang penting. Lock tarikh kembara anda. Tentukan dengan betul dan tepat tarikh flight anda. Semua kena setuju antara satu sama lain dengan tarikh yang telah ditentukan. Nak pergi musim apa, waktu bila, berapa hari. Semua ini mestilah ditentukan dan dirancang dengan rapi supaya perjalanan itu smooth dan enjoy. Tidaklah stress dan serabut. Paling penting lantiklah seorang ketua. Mafhum hadith, andai bermusafir bertiga, maka lantiklah seorang ketua.

Bagi yang punyai RM0 dalam simpanan, jangan risau ambil la masa setahun atau 6 bulan sebelum lock tarikh kembara anda. Boleh dikatakan tempoh setahun adalah timing yang sangat relavan bagi anda untuk memulakan.

Setakat ni dalam tempoh lock tarikh yang pernah Mooze lakukan dengan team dan sahabat travel Mooze adalah setahun, 7 bulan, 3 bulan, 2 bulan. Dan yang paling awal lock tarikh pernah dibuat adalah sehari. Hari ni plan, esok flight. Hahaha tu antara tak ada kerja nak buat. Plan hari ni esok flight.

Paling lama Mooze pernah buat adalah lock tarikh setahun lebih. Ada juga tunda tarikh sebab kewangan masih lagi tidak cukup. Baik kita pergi langkah seterusnya.

Mencari tarikh yang seterusnya. Osaka, Japan.

4. BERKORBAN

 

Tarikh dah ditentukan, makanya tiket flight kena beli. Mooze boleh katakan, apabila anda dah beli tiket flight, 70% daripada pengembaraan anda telah pun jadi.

Ya bahagian keempat ini paling mencabar. Anda terpaksa korbankan masa, tenaga, dan wang ringgit sebelum sampai tarikh anda flight. Mooze pernah lalui dengan team Mooze waktu nak pergi China. Kredit for the team ke China. Merekalah tunjang utama pasukan.

Bertungkus lumus untuk menjayakan misi tersebut. Cerita tentang berkorban ni seronok sikit Mooze nak kongsikan. Waktu berada di luar negara, China. Mooze ada lah tanya salah seorang sahabat Mooze sendiri, kenapa ikut program ni?

Dia jawab dia memang betul-betul nak pergi. Dia dah nekad, apa jadi tetap nak pergi. Dia pun banyak berkorban dari mula perancangan. Dan itulah pertama kali dia flight ke luar negara. Dari situ Mooze kagum dengan semangat dan keinginan yang telah ditunjukkan. Sangat berbeza gerak kerja mereka yang punyai matlamat yang jelas. Ya, usah dikira berapa pengorbanan yang anda telah lakukan, kerana manisnya tetap akan dirasai.

Baca Juga  Kenapa Untung Beli Voucher Dari Walk In Untuk Bercuti?

Bila anda dah lock tarikh anda, anda dikejar matlamat. Dikejar impian. Tak senang duduk dalam tempoh sebelum tarikh flight. Tak dinafikan, duit adalah perkara paling utama untuk mengembara. Apabila anda jelas dengan matlamat dan keinginan anda, insyaAllah ia akan dipermudahkan. Bukan nak kata mudah, tapi dipermudahkan. Jalan dan lorong yang tidak disangka akau ditemui.

Kenapa Mooze ceritakan part yang ni, sebab waktu ni kami semua masih belajar lagi. SEM-6. Kerja pun belum lagi. Sumber kewangan memang tidak cukup. Tapi dengan kesungguhan pasukan, pengorbanan yang dilakukan oleh mereka,  membuatkan impian bersama menjadi kenyataan. Sebab tu pentingnya berkongsi impian. (Boleh rujuk penulisan Mooze yang pertama.)

Western Australia.

Yang kelima adalah,

 

5. DOA

 

Sebenarnya ini bukan terakhir, ini adalah permulaan dan tiada penghujungnya. Tetap teruslah berdoa dengan sepenuh hati. Tetap yakinlah yang doa anda pasti insyaAllah Allah SWT makbulkan. Walaupun lambat, tapi tetap akan sampai. Berdoalah sehingga tarikh yang telah ditetapkan. Dengan siapa lagi kita mahu berserah setelah usaha dan pengorbanan yang dilakukan selain daripada Allah SWT?

Tidak akan bergerak sezahrah sekalipun melain dengan izinNya. Teruslah meminta kepadaNya. Sungguh, Allah SWT itu sangat dekat lebih dari urat marikh kita sendiri.

“Mana mungkin kita miskin, sedangkan kita adalah hamba kepada Yang Maha Kaya.”

Mooze kongsikan, ada satu trip ni memerlukan 2-3 minggu lebih kurang untuk siap visa ke negara tersebut. Passport kena tinggalkan di kedutaan. Tapi Mooze dan sahabat Mooze, dapat dalam sehari. Khamis tarikh flight, rabu kami pergi buat visa. Visa telah approve khamis pagi. Memang kami geleng kepala waktu tu.

Dan ia adalah pengalaman yang sangat berharga buat Mooze.

Bila nak bina masjid kita pula? Morocco.

Ok dah cukuplah untuk penulisan kali ini, siap pun 5 langkah untuk merealisasikan impian anda untuk mengembara. Inilah pengalaman yang Mooze lalui sendiri.

Apa pun, 5 langkah ini bukan hanya boleh diaplikasikan dalam dunia pengembaraan, malah boleh di terjemahkan dalam apa jua yang anda inginkan. Cuma tanya sahaja apa yang anda inginkan. InsyaAllah ia bakal menjadi kenyataan.

Semoga bermanfaat.

 

 

error: Content is protected !!